Friday, July 26, 2013

Puji-pujian



Sebagai manusia biasa yang sarat dengan pelbagai kelemahan, aku tewas lagi! Aku akui bahawa walaupun aku seorang perempuan, egoku tinggi menggunung. Setelah 4 tahun bertungkus-lumus mengatur majlis terawih dengan seorang lagi ustazah setiap tahun, tanpa sokongan penuh dari pihak atasan, tanpa sebarang kata-kata perangsang atau penghargaan, semuanya aku terima walaupun pahit, dengan harapan ianya diterima dan mendapat balasan dari Allah Taala.
 
Namun, pada tahun ke-4 ini, Alhamdulillah, kami dibantu pula oleh seorang lagi guru baru yang bersemangat untuk memeriahkan lagi majlis terawih di bulan Ramadan tahun ini. Berbeza dengan  tahun-tahun yang lepas di mana terawih diadakan setiap malam, majlis pada tahun ini diadakan hanya 3 kali, iaitu pada malam Jumaat setiap minggu. Ini kerana sebelum ini, ramai murid ponteng terawih dengan alasan terlalu banyak kerja sekolah perlu disiapkan, sakit perut, teramat letih dan pelbagai macam alasan lagi. Ia juga demi memastikan roh terawih tidak tercemar dek murid-murid yang jahil tentang kelebihan Ramadan ini, sekaligus merealisasikan matlamat sebenar terawih  iaitu mendidik dan mendisiplinkan semua murid. 
Pada minggu terakhir Ramadan kali ini pula, majlis khatam Al-Quran dan Iftar digabungkan sekali dengan solat terawih dan solat hajat PMR & SPM. Kalau diikutkan diriku yang memang sukakan kesederhanaan ini, semuanya akan dilakukan seadanya, tetapi kali ini ianya lebih meriah dengan adanya guru baru ini. Kebanyakan guru memuji-muji guru baru ini dan menyatakan bahawa majlis berjalan amat lancar kerana adanya guru ini. Aku akui guru ini amat berdedikasi dalam memastikan majlis ini berjaya diadakan dengan penuh meriah. Malah aku juga amat gembira dapat belajar sifat bersungguh-sungguh dan komitmen tinggi yang terserlah pada guru ini.

Namun, terdetik rasa sedih dan marah apabila ada sebahagian guru yang mengatakan (mafhumnya lebih kurang begini): mujur guru tersebut ada, kalau harapkan 2 orang ustazah yang lembik ni, majlis tidak akan berjalan lancar. Mahu sahaja ku jawab, ustazah-ustazah yang lembik inilah ke hulu ke hilir sepanjang Ramadan selama 4 tahun, membuat persiapan sebelum, semasa dan selepas majlis. Kami adalah yang paling awal datang dan juga yang paling akhir pulang untuk memastikan majlis tidak kelam kabut. Tidak kunafikan, oleh sebab aku kurang senang berurusan dengan pihak atasan dan vip, aku hanya menumpukan perhatian kepada kerja-kerja belakang tabir serta menjaga disiplin dan kebajikan murid sahaja. Maka aku cuba memujuk hati ini, mungkin guru-guru lain tidak perasan peranan kami yang sebenar. 

Aku kagum dengan ustazah yang seorang lagi ini, tugas dia memang banyak, lebih banyak daripada diri ini. Dia kena berurusan dengan pelbagai ragam orang: pihak atasan, jemputan, guru-guru, murid-murid, ibu bapa murid, staf sokongan sehinggakan petugas membersih tandas pun. Dari sebesar-besar tugas ke sekecil-kecil tugas, semua dia kena uruskan. Tapi aku tak pernah dengar sekali pun dia merungut. Dia memang orang paling sabar pernah aku jumpa.

Guru baru dan ustazah ni memang ada kelemahan masing-masing, tetapi bila aku teringatkan kelebihan mereka dalam dedikasi menjalankan tugas, aku jadi malu sendiri. Biarlah orang panggil aku lembik ke apa, yang penting aku sudah jalankan tanggungjawab aku sebaik mungkin. Jangan rosakkan amalan aku semata-mata kata-kata orang. Ya Allah, tanamkanlah sifat penuh tanggungjawab dan sabar dalam diri ini, jadikanlah aku seorang yang ikhlas berkhidmat kerana-Mu, bukan mengharapkan pujian atau takutkan pandangan rendah atau tohmahan makhluk Allah. Amin.