Tuesday, October 1, 2013

Tukar



“TUGAS YANG PADAT DI SEKOLAH SEMASA, SEBAGAI SEKOLAH SUKAN DIGABUNG DENGAN PENDIDIKAN KHAS, MENYEBABKAN SAYA KERAP GAGAL MENJALANI RAWATAN SEBAGAI PESAKIT MAJOR DEPRESSIVE DISORDER. PENYAKIT YANG MENYEBABKAN SAYA MUDAH LETIH, EMOSI, LUPA DAN CUAI INI SEDIKIT SEBANYAK MENYUKARKAN SAYA DALAM MENUNAIKAN TUGAS SEPERTI GURU LAIN. SALAH SATU RAWATAN PSIKOLOGI YANG DOKTOR SARANKAN ADALAH SAYA BERADA DI SAMPING KELUARGA. MOGA DENGAN PERTUKARAN INI SAYA PULIH DAN DAPAT BERKHIDMAT DENGAN LEBIH CEMERLANG.”

Ini lah alasan aku minta pindah mengajar dekat dengan rumah. Terus terang, yang aku tak tahan bila duduk seberang laut ni ialah naik kapal terbang. Kalau naik kereta atau bas pun aku mudah rasa penat dan pening, jadi bayangkanlah perjalanan ulang alik dari Kuantan ke Kuching dengan 2 kapal terbang 1 hala. Selalunya lepas perjalanan, aku mesti melepek 2, 3 hari mengecaj semula tenaga. Seboleh-bolehnya aku elakkan balik rumah. Bukan tak rindukan keluarga… amat rindu sebenarnya! Abis tu nak buat camane, kalau balik rumah boleh lah rehat tidur 2, 3 hari. Komfem famili tak marah punya. Tapi kalau balik sekolah? Selalu kena sindir dengan pengetua kalau minta cuti sakit. Kenalah datang jugak sekolah walaupun kepala berpusing-pusing tak habis lagi kronik jetlag. 

Alasan aku tak mahu mengajar di sekolah ini pulak sebab aku tak dapat tumpu mengajar betul-betul. Sebagai sekolah sukan, banyak betul tugas yang tak ada kena-mengena dengan Pengajaran dan Pembelajaran! Tolak tepi lah tugas sebagai guru kelas, kokurikulum dan masalah disiplin Pendidikan Khas. Yang tu memang berkaitan lah dengan tugas aku. Tapi tugas melibatkan aktiviti perdana ni memanglah menguji kesabaran aku. Apa kaitannya, guru Pendidikan Khas dengan liga bola sepak KPM? Kenapa urusan biasiswa murid perdana diserah kepada guru Pendidikan Khas? Ok, mungkin lah sebab tak cukup guru perdana. Dah tu, guru Pendidikan Khas ni cukup sangat? Selalu kena pergi sana sini sampai murid Pendidikan Khas sendiri pun tak terjaga. Aku dah letih, banyak sangat ketidak adilan dalam pentadbiran. Yang jadi mangsa, AKU. Kalau buat, meninggalkan ‘core business’ sendiri iaitu Pendidikan Khas, macam mana aku nak jawab kat akhirat nanti?! Kalau tak buat, dilabel ‘tidak menurut perintah’. Daripada aku tersepit ketat, baik aku usaha untuk lepaskan diri.

Lagi satu, kesedaran Islam di Kuching masih jauh lagi perjalanannya. Pernah jumpa tak pengetua lelaki beragama Islam dengan selambanya menghulur tangan untuk bersalam dengan ustazah bertudung labuh?! Aku dah jumpa, dan aku lah ustazah yang malang tu. Itu lah tangan lelaki ajnabi yang pertama aku sentuh sejak 29 tahun aku hidup. Aku cuba minta izin tak bersalam, tapi dia tak menjawab, tak tarik-tarik tangan. Disebabkan aku ada atas pentas, ambil hadiah, ramai orang tengok, nak jaga maruah dia, aku salam jugak dengan muka mempelam muda. Alasan! Iman aku lemah sebenarnya, takut pengetua terasa dan marah, takut orang mengata sombong, kesimpulannya takut makhluk Allah. Sepatutnya, aku buat-buat tak nampak tangan dia tu, capai je hadiah sambil senyum. Pernah juga ada pengarah sebuah institusi datang pameran, dia hulur tangan jugak, pastu siap ada ‘cameraman’ ambil footage dia. Aku salam jugak hujung jari huhu. Sesungguhnya aku menyesal, rasa berdosa sangat huhu T_T  Sepatutnya aku tunjukkan pendirian aku. Sekarang aku selalu bawa sarung tangan kalau ada penyampaian hadiah dan yang sewaktu dengannya. Aku kena tegas menolak yang haram ni. Moga perpindahan aku diluluskan dan aku sentiasa dipelihara oleh Allah. Amin.

Friday, July 26, 2013

Puji-pujian



Sebagai manusia biasa yang sarat dengan pelbagai kelemahan, aku tewas lagi! Aku akui bahawa walaupun aku seorang perempuan, egoku tinggi menggunung. Setelah 4 tahun bertungkus-lumus mengatur majlis terawih dengan seorang lagi ustazah setiap tahun, tanpa sokongan penuh dari pihak atasan, tanpa sebarang kata-kata perangsang atau penghargaan, semuanya aku terima walaupun pahit, dengan harapan ianya diterima dan mendapat balasan dari Allah Taala.
 
Namun, pada tahun ke-4 ini, Alhamdulillah, kami dibantu pula oleh seorang lagi guru baru yang bersemangat untuk memeriahkan lagi majlis terawih di bulan Ramadan tahun ini. Berbeza dengan  tahun-tahun yang lepas di mana terawih diadakan setiap malam, majlis pada tahun ini diadakan hanya 3 kali, iaitu pada malam Jumaat setiap minggu. Ini kerana sebelum ini, ramai murid ponteng terawih dengan alasan terlalu banyak kerja sekolah perlu disiapkan, sakit perut, teramat letih dan pelbagai macam alasan lagi. Ia juga demi memastikan roh terawih tidak tercemar dek murid-murid yang jahil tentang kelebihan Ramadan ini, sekaligus merealisasikan matlamat sebenar terawih  iaitu mendidik dan mendisiplinkan semua murid. 
Pada minggu terakhir Ramadan kali ini pula, majlis khatam Al-Quran dan Iftar digabungkan sekali dengan solat terawih dan solat hajat PMR & SPM. Kalau diikutkan diriku yang memang sukakan kesederhanaan ini, semuanya akan dilakukan seadanya, tetapi kali ini ianya lebih meriah dengan adanya guru baru ini. Kebanyakan guru memuji-muji guru baru ini dan menyatakan bahawa majlis berjalan amat lancar kerana adanya guru ini. Aku akui guru ini amat berdedikasi dalam memastikan majlis ini berjaya diadakan dengan penuh meriah. Malah aku juga amat gembira dapat belajar sifat bersungguh-sungguh dan komitmen tinggi yang terserlah pada guru ini.

Namun, terdetik rasa sedih dan marah apabila ada sebahagian guru yang mengatakan (mafhumnya lebih kurang begini): mujur guru tersebut ada, kalau harapkan 2 orang ustazah yang lembik ni, majlis tidak akan berjalan lancar. Mahu sahaja ku jawab, ustazah-ustazah yang lembik inilah ke hulu ke hilir sepanjang Ramadan selama 4 tahun, membuat persiapan sebelum, semasa dan selepas majlis. Kami adalah yang paling awal datang dan juga yang paling akhir pulang untuk memastikan majlis tidak kelam kabut. Tidak kunafikan, oleh sebab aku kurang senang berurusan dengan pihak atasan dan vip, aku hanya menumpukan perhatian kepada kerja-kerja belakang tabir serta menjaga disiplin dan kebajikan murid sahaja. Maka aku cuba memujuk hati ini, mungkin guru-guru lain tidak perasan peranan kami yang sebenar. 

Aku kagum dengan ustazah yang seorang lagi ini, tugas dia memang banyak, lebih banyak daripada diri ini. Dia kena berurusan dengan pelbagai ragam orang: pihak atasan, jemputan, guru-guru, murid-murid, ibu bapa murid, staf sokongan sehinggakan petugas membersih tandas pun. Dari sebesar-besar tugas ke sekecil-kecil tugas, semua dia kena uruskan. Tapi aku tak pernah dengar sekali pun dia merungut. Dia memang orang paling sabar pernah aku jumpa.

Guru baru dan ustazah ni memang ada kelemahan masing-masing, tetapi bila aku teringatkan kelebihan mereka dalam dedikasi menjalankan tugas, aku jadi malu sendiri. Biarlah orang panggil aku lembik ke apa, yang penting aku sudah jalankan tanggungjawab aku sebaik mungkin. Jangan rosakkan amalan aku semata-mata kata-kata orang. Ya Allah, tanamkanlah sifat penuh tanggungjawab dan sabar dalam diri ini, jadikanlah aku seorang yang ikhlas berkhidmat kerana-Mu, bukan mengharapkan pujian atau takutkan pandangan rendah atau tohmahan makhluk Allah. Amin.